Siaran Akhbar dan Foto : Darussalam Services Sendirian Berhad
ARAFAH, Selasa, 26 Mei. - Jemaah haji Darussalam Services Sendirian Berhad (DSSB) bersama-sama jemaah haji dari Negara Brunei Darussalam (NBD) baru-baru ini telah melaksanakan ibadah wukuf di Padang Arafah, yang merupakan kemuncak ibadah haji serta salah satu rukun haji yang paling utama.
Dalam suasana penuh keinsafan dan kekhusyukan, para jemaah mengambil kesempatan untuk memperbanyakkan doa, zikir serta muhasabah diri, memohon keampunan dan rahmat daripada Allah Subhanahu Wata'ala.
Cuaca yang cerah serta keadaan yang teratur telah membantu melancarkan segala urusan jemaah dalam menunaikan ibadah tersebut.
Khutbah Arafah khas bagi jemaah haji NBD telah disampaikan oleh Awang Haji Abdul Aziz bin Haji Akop, dipilih dari kalangan jemaah haji.
Dalam khutbah tersebut, beliau menekankan kepentingan keikhlasan dalam beribadah, memperkukuhkan iman, serta menyeru para jemaah agar menjadikan pengalaman haji sebagai titik permulaan untuk memperbaiki diri dan kehidupan selepas kembali ke tanah air.
Beliau turut mengingatkan para jemaah supaya sentiasa bersyukur atas peluang menjadi tetamu Allah serta meneruskan nikmat tersebut dengan memperbanyakkan amalan soleh dan memperkukuhkan hubungan sesama masyarakat apabila kembali ke NBD.
DSSB, dengan kerjasama Jabatan Urusan Haji serta pihak berkuasa tempatan, sentiasa komited dalam memastikan kebajikan dan keselamatan para jemaah sentiasa diutamakan sepanjang berada di tanah suci.
Semoga seluruh jemaah haji NBD dikurniakan haji yang mabrur serta kembali ke tanah air dengan selamat dan membawa keberkatan ibadah haji dalam kehidupan seharian.